Jika sebelum ini Jalan Silang, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Bukit Bintang ‘dikuasai’ warga asing, kini merebak pula di Jalan Kenanga.

Jalan Kenanga yang cukup popular sebagai lokasi pemborong fesyen seperti pakaian, beg, kasut, aksesori, barangan solek, kelengkapan tekstil dan perhia­san rumah itu kini berubah wajah.

Warga asing yang terdiri daripada warga Nepal dan Bangladesh itu bukan lagi sebagai pekerja, hari ini mereka mengusahakan perniagaan sendiri.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati mereka semakin berani membuka kedai runcit, pasar raya, menjual pera-latan elektronik dan kedai makan.

Terdapat tiga buah Peruma­han Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu PA Jalan Hang Tuah, PA Seri Sarawak dan PA Seri Selangor di kawasan berhampiran.

Rata-rata penduduk kediaman terbabit mendakwa, terdapat banyak persaingan berlaku antara peniaga tempatan dan asing.

Persaingan itu berlaku apabila peniaga warga asing meletakkan harga yang murah terhadap jualan mereka.

Utusan Malaysia turut difahamkan tindakan peniaga tempatan menyewakan premis kepada warga asing turut menyumbang kepada kebanjiran mereka di kawasan ini.

Sehubungan itu DBKL diminta lebih tegas dalam menangani isu ini.

Jika tidak ditangani, keadaan ini memberi impak tidak baik kepada peniaga warga tempatan serta mencemarkan imej Kuala Lumpur.