Lebih menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk setempat terdapat juga gerai-gerai terbiar dan tidak beroperasi sehingga status­nya menimbulkan tanda tanya.

Tinjauan Skuad Terjah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini mendapati, aduan penduduk berasas.

Berdasarkan kepada pemerhatian terdapat kira-kira 25 gerai setinggan dan terbiar di luar kawasan perumahan tersebut.

Persekitarannya tidak ubah seperti penempatan setinggan sehingga mengundang rasa tidak selesa dan jelik mata memandang.

Kebanyakan gerai terbabit menjalankan perniagaan makanan, minuman dan peruncitan. Selain itu, terdapat sebuah bengkel kenderaan yang turut bero­perasi.

Tinjauan turut mendapati, kenderaan buruk dan terbiar yang ditinggalkan di kawasan itu menyebabkan timbulnya masalah kekurangan tempat parkir.

Penduduk mendakwa, gerai yang ‘berselerak’ itu turut menjadi punca sistem perparitan di kawasan perumahan itu tersumbat sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan PPR Kampung Limau, Ahmad Long merayu agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius isu yang dibangkitkan penduduk setempat.

“DBKL diharapkan dapat menyediakan sebuah medan selera yang lebih selesa dan teratur.

“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tentu sekali menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah Ahmad Long, pada awal PPR itu diduduki tahun 2006 tidak banyak gerai dibuka berbanding hari ini semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Sepanjang pemerhatian Skuad­ Terjah gerai setinggan seum-pamanya boleh dilihat di bahu-bahu jalan, bawah jejambat sekitar Pantai Dalam dan Kerinci.

Sektor perniagaan kecil ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sesuatu kawasan terutamanya di bandar -­ ban­dar besar.

Jika perkembangannya tidak dikawal ia boleh me­nyumbang kepada masalah kebersihan, ke­sesakan lalu lintas, keselamatan serta menjejaskan kualiti sesuatu kawasan terutamanya Kuala Lumpur yang bakal menuju bandara raya bertaraf dunia 2020.