Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, menara telekomunikasi berkenaan dikesan diceroboh individu tidak bertanggungjawab sebelum beberapa peralatan penting dirosakkan.

Memetik laporan Harian Metro, siasatan awal mendapati perkhidmatan telekomunikasi itu terjejas selepas jana kuasa bergerak (genset) di menara berkenaan dirosakkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintenden Mohammad Azwan Abdul Wahab memberitahu akhbar itu, pemeriksaan juruteknik syarikat tersebut mendapati pagar menara berkenaan turut dipotong selain beberapa barangan hilang termasuk minyak bekalan jana kuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, paip minyak jana kuasa berkenaan dicabut dan disyaki dicuri bersama bahan api sebanyak kira-kira 400 liter membabitkan kerugian kira-kira RM800.

“Wakil syarikat telekomunikasi itu kemudian membuat laporan Balai Polis Tongod untuk makluman dan tindakan pihak polis,” katanya.

Tambah Mohammad Azwan, pihaknya kita sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE