Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syabas Abdul Raof Ahmad berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa dalam siap siaga bagi menghantar bekalan air melalui lori tangki sekiranya terdapat panggilan daripada pengguna.

“Pihak Syabas juga telah mengaktifkan sembilan lokasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) mulai hari ini seawal pukul 8 pagi tadi dan sebanyak 79 lori tangki air dan 10 lori tangki air Jumbo juga disediakan bagi memberikan bantuan kepada pelanggan di kawasan terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air melibatkan 427 kawasan sekitar Lembah Klang bermula hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerja-kerja baik pulih di loji yang terlibat sedang giat dijalankan.

Dalam kenyataan Syabas sebelum ini, sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari bermula hari ini berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).