Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan tersebut akan bermula pada pukul 9 malam, 12 Januari hingga 11 malam, keesokan harinya.

“Kawasan yang terlibat ialah Bukit Bintang, Imbi, Pudu, Bukit Ceylon, Jalan Sungai Besi, pusat bandar Kuala Lumpur, Bukit Damansara, Bangsar dan Titiwangsa Sentral.

“Kawasan lain Bukit Persekutuan, Kampung Attap, Taman Duta, Bukit Tunku, Kampung Baru, Taman SA, Brickfields, Kampung Datuk Keramat, Taman Tasik Perdana, Chow Kit dan Pekeliling,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelanggan di kawasan terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya sebelum kerja-kerja pembaikan dan penutupan bekalan bermula.

“Kami akan menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan dan mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat di tempat letak kenderaan Hospital Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak yang akan beroperasi bermula pada pukul 8 malam, 12 Januari.

“Segala tindakan akan diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan,” katanya.

Abdul Raof berkata, pelanggan boleh menghubungi di talian 15300 atau SMS Tanker <Nama><Alamat> ke 15300 atau WhatsApp 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk bantuan. - UTUSAN ONLINE