Pengerusi Persatuan Pusat Komersial Bandar Mahkota Cheras, Terence Ee berkata, kehadiran kira-kira 45 penjaja di Jalan Temenggung 7/9 dan 1/9 serta sepanjang Persiaran Mahkota Cheras 2 itu merencatkan urusan orang ramai di pusat komersial tersebut.

Dakwanya, pencerobohan ka­wasan lapang yang juga tanah rizab sejak tujuh bulan lalu itu turut mengganggu kelancaran trafik.

“Ini berikutan banyak kende­raan pelanggan yang singgah membeli di gerai penjaja berkenaan diletakkan di bahu jalan sehingga menganggu kelancaran trafik.

“Beberapa siri bantahan dan a­duan telah dikemukakan kepada MPKj namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Difahamkan lokasi sama juga akan diwujudkan Laman Niaga Bandar Mahkota Cheras melibatkan operasi trak makanan dan vendor kelak.

“Perkembangan tersebut ti­dak melalui perbincangan ka­mi yang merupakan pihak berkepenti­ngan dan selaku pembayar cukai,” katanya kepada pemberita dalam bantahan yang disertai lebih 30 pemilik premis di sini.

Sebelum ini bantahan sama tu­rut dilakukan persatuan itu bulan lalu termasuk usaha me­ngumpul 250 tanda tangan peniaga bagi membantah penukaran status tanah rizab berkenaan kepada zon penjaja.

Menurut Ee, kewujudan ­penjaja tanpa lesen itu turut men­jejaskan periuk nasi lebih 10 perniagaan berhampiran.

“Peniaga terpaksa gulung ti­kar akibat perniagaan terancam ekoran orang ramai sering mengelak memasuki ke kawasan sesak itu serta masalah kekura­ngan petak letak kereta.

“Lebih dikesalkan Ahli Maj­lis Zon 6 yang diharap dapat membantu menyelesaikan masalah itu hanya berdiam diri sedangkan pejabat opera­sinya terletak berhampiran Pusat Komersial Bandar Mahkota Cheras ini,” dakwanya.

Sementara itu, Pegawai Per­hubungan Awam MPKj, Kamarul Izman Sulaiman ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu berkata, usaha mewujudkan Laman Niaga Bandar Mahkota Cheras bertujuan menempatkan penjaja secara teratur dan seragam dalam satu kawasan.

Menurutnya, langkah ini untuk memudahkan pemantauan operasi ke atas peniaga terlibat.

“Peniaga yang diberi lesen diwajibkan mematuhi syarat se­perti pengumpulan sisa makanan dan sampah, pemasa­ngan perangkap minyak termasuk menjaga kebersihan.

“Majoriti penjaja di situ a­salnya adalah penjual buah-buahan bermusim seperti durian dan limau mandarin. Pemeriksaan berkala sentiasa dilakukan bagi memastikan peniaga hanya menjual jenis barangan yang di­benarkan sahaja,” katanya.