Tugas dan peranan tidak henti-henti dimainkan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota seiring dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi negara.

Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDDIN menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif YKB, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican bagi berkongsi peranan serta harapan beliau bagi memastikan yayasan menjadi antara tunjang utama dalam membantu golongan sasar.


UTUSAN MALAYSIA: Boleh Datuk perincikan sedikit berhubung peranan dan fungsi YKB?

MUSTHAPA AHMAD MARICAN: Peranan YKB amat luas tetapi secara u­mumnya YKB berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota.

Bagi tujuan itu, YKB bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbada­nan Putrajaya, Perbadanan La­buan termasuk agensi lain se­perti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Wilayah Persekutuan.

Kerjasama ini penting membantu ya­yasan dalam mengenal pasti ma­salah dan melancarkan lagi setiap program yang dilaksanakan.

Inisiatif dan program dilaksanakan YKB setakat ini?

Sejak saya dilantik sebagai Ke-tua Pegawai Eksekutif YKB pada tahun 2016, beberapa inisiatif baharu telah diperkenalkan.

YKB perlu ditransformasikan dari segi kerja mengikut keperluan semasa.

Untuk itu yayasan bekerjasama erat dengan KWP dalam me-laksanakan beberapa program se-perti kad ceria, berbasikal, saman diskaun DBKL, kit denggi, kotak rezeki dan agihan bubur lambuk selain program-program lain bersama NGO yang diadakan setiap tahun.

Tumpuan juga diberi kepada penjawat awam di Putrajaya. Rungutan mereka didengari dan akan disalurkan kepada pihak tertentu termasuk Menteri Wilayah Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dengan cara ini juga YKB dapat berkongsi masalah dengan masyarakat kota serta penjawat awam secara terus dan telus.

Sejauh mana kesan kerjasama yayasan dengan NGO lain?.

Kerjasama YKB dengan NGO amat penting kerana maklumat yang ada pada mereka itu dapat membantu YKB mengenal pasti masalah kemiskinan bandar.

Selain itu, ia juga dapat membantu kami dalam menyelesaikan masalah mereka yang berkhidmat dalam kerajaan.

Kerjasama tersebut amat diperlukan dan dianggap sebagai perkara mustahak kerana ia sebahagian penyumbang kepada usaha untuk kesejahteraan masyarakat.

Apakah visi dan misi YKB?

YKB sebelum ini melaksanakan program bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, sehingga kini.

Cuma sejak dilantik sebagai CEO, saya buat kerja-kerja tambahan bersama NGO lain supaya masalah warga kota dapat diketahui dengan lebih dekat seiring dengan objektif penubuhan YKB iaitu bertanggungjawab di dalam hal ehwal kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan.

YKB ditubuhkan pada 2013 di bawah bahagian undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Yayasan ditugaskan untuk membantu menaikkan imej kementerian termasuk mewujudkan masyarakat sejahtera, selamat dan ceria.

Perancangan YKB untuk masa akan datang?

Harapan saya supaya suatu masa nanti yayasan akan menjadi tempat rujukan untuk anak-anak muda dan berkhidmat bersama-sama kami.

Saya melihat permasalahan akan datang adalah berkaitan dengan anak-anak muda.

Oleh sebab itu, saya menekankan konsep pengajian berteraskan ilmu agama di Maahad Tahfiz. Pendekatan gotong-royong dan konsep kemanusiaan ditekankan selain daripada menganjurkan seminar kerjaya dan motivasi bagi melahirkan masyarakat yang berdikari bukan meminta.


Penerimaan masyarakat setakat ini terhadap yayasan?

Alhamdulillah, setakat ini warga kota sudah mula mengenali YKB memandangkan banyak program telah dilaksanakan melibatkan NGO dan pelajar universiti. Hubungan baik juga turut dijalinkan dengan semua kementerian dan jabatan kerajaan .

Apakah isu yang masih belum dapat diselesaikan YKB?

Sejujurnya banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan YKB kerana kami baru bertapak sebagai NGO di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menjadi harapan saya pada masa depan, kerjasama strategik yayasan dengan jabatan yang mempunyai hubungan dengan masyarakat dapat dijalin.

Ini bagi mengelakkan sebarang pertindihan bantuan dan memudahkan semua pihak. Saya juga berharap YKB menjadi pusat perantaraan antara masyarakat dan agensi kerajaan kelak, Insya-Allah.