Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan­ berkata,­ ia merupakan pertandingan­ rekaan pakaian menggunakan bahan-bahan terpakai dan kitar semula seperti surat khabar dan beg plastik.

Jelasnya, seramai 50 pereka menyertai pertandingan tersebut.

“Pertandingan ini begitu sinonim dengan Alam Flora dan kali ini sambutannya amat meriah.­ Ia juga bertujuan memupuk kesedaran berterusan terhadap faedah kitar semula.

“Jika orang ramai kreatif memanfaatkan sumber tersebut sudah tentu kita boleh mengurangkan jumlah sisa-sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sekali gus menjaga alam sekitar,” katanya­ ketika ditemui di sini.

Menurut Mohd. Zain, pertandingan­ itu membuktikan kesedaran mengenai 3R semakin­ meningkat dan ia juga dapat melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang rekaan fesyen khususnya pakaian daripada bahan terbuang.

Pertandingan tersebut dimenangi oleh Zulkifli­ Abdul Aziz yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 serta trofi, mahkota, selempang dan sijil penyertaan.

Zulkifli, 36, merupakan seorang pekerja restoran yang berasal dari Ipoh, Perak mengakui berasa terkejut kerana tidak menyangka dipilih sebagai juara pertandingan tersebut.

“Saya menganggapnya sebagai rezeki saya dan model pakaian­ tersebut, Azelia Mohd. Aris.

“Dalam pertandingan ini, saya hanya membelanjakan tidak sampai RM20 untuk membuat rekaan fesyen pakaian­ daripada surat khabar dan majalah,” katanya.