Ketua Pegawai Eksekutif FatBerry, Priscilla Lim berkata, sasaran berkenaan juga akan disokong dengan pelancaran aplikasi mudah alih FatBerry sekitar suku kedua tahun depan.

“Untuk tahun pertama, kami menyasarkan sebanyak lebih dua juta pengguna. Menuju ke hadapan, kami akan terus mengadakan pelbagai usaha untuk meningkatkan bilangan penggunaan.

“Selain itu, kami masih dalam proses menambah baik aplikasi mudah alih FatBerry sebelum melancarkannya di Apple Store dan Google Play pada suku kedua tahun depan,” katanya pada acara pelancaran FatBerry.com di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Insurance Malaysia Bhd. (Tune Protect Malaysia), Khoo Ai Lin.

Pada acara itu, FatBerry dan Tune Protect Malaysia mengumumkan kerjasama untuk menyediakan platform pembelian digital insurans awam termasuk insurans motor, perjalanan dan kemalangan peribadi.

Priscilla berkata, fungsi utama FatBerry adalah membantu pengguna mencari dan membeli insurans secara dalam talian dengan tepat dan pantas terutamanya menuju ke arah dunia celik teknologi.

“Platform FatBerry ini akan memudahkan urusan orang ramai dalam memahami dan mencari produk insurans yang tepat buat mereka. Ia adalah sangat inovatif, pantas dan mesra pengguna.

“Kami percaya teknologi FatBerry dapat mengubah cara pelanggan mendapatkan perkhidmatan insurans dan membantu membuat keputusan yang tepat sambil menjimatkan masa dan wang” katanya. - UTUSAN ONLINE