Terbaharu, Impression City yang terletak di Kota Syahbandar di sini menyediakan sebuah bangunan khas untuk persembahan teater bertaraf dunia yang diberi nama Encore Melaka yang mula beroperasi sejak 1 Julai lalu.

Menggunakan lebih 200 artis dan krew penerbitan, persembahan teater Encore Melaka yang menampilkan empat siri pementasan Impression bukan suatu teater yang biasa.

Ini kerana ia menjanjikan pengalaman berbeza dengan teknologi tempat duduk berputar sambil menggunakan empat pentas bagi menzahirkan pementasan yang lebih dramatik.

Bangunan putih yang dihiasi dengan dinding luar diperbuat daripada lampu LED dan jubin porselin itu dibina oleh syarikat Yong Tai Berhad, sebuah syarikat tempatan yang berperanan membangunkan kawasan tersebut.

Naib Presiden Bahagian Pemasaran Projek Yong Tai Berhad, Katherine Chu berkata, penonton dijanjikan kepuasan maksimum apabila menyaksikan persembahan teater selama lebih 70 minit tanpa henti yang memberi pengalaman seolah-olah mereka menyaksikan tayangan filem di pawagam.

“Encore Melaka muncul hasil kajian sejarah, budaya dan ketamadunan masyarakat Melaka yang dijayakan selama dua tahun dan diarahkan oleh Ketua Penerbit terkenal dari China, Wang Chaoge manakala pelakonnya pula terdiri daripada artis tempatan yang bekerja tetap dengan syarikat ini.

“Ruang teater ini mampu menempatkan 2,000 penonton dalam satu-satu masa dan sudah pasti sepanjang pementasan itu, pengunjung akan terhibur dengan aksi koreografi dan permainan cahaya yang dicipta menggunakan teknologi digital,” katanya ketika ditemui di Encore Melaka baru-baru ini.

Encore Melaka bukan sekadar mementaskan persembahan teater malah menzahirkan kekayaan Melaka melalui susur galur sejarah dan budayanya yang bermula lebih 600 tahun lalu.

“Bermula dengan sejarah kewujudan Melaka, penonton dibawa me­nyelusuri sejarah panjang kewujudan dan keharmonian masyarakat majmuk di bumi bertuah ini,” katanya.

Teater ini dipersembahkan sebanyak dua kali setiap hari Isnin hingga Sabtu iaitu pada pukul 5.30 petang dan 8.30 malam manakala pada Ahad, ia dipertontonkan pada pukul 2.30 petang dan 5.30 petang.

Ia merupakan pementasan pertama siri Impression yang diadakan di luar negara China dan menjadi persembahan ke-10 bagi siri tersebut.

Seperti siri Impression yang dipentaskan sejak tahun 2003 yang mengetengahkan kisah tempatan yang mana ia dibangunkan, Encore Melaka turut mempersembahkan jalan cerita mengenai Melaka yang digarap dalam kelas persembahan tersendiri.

Disebabkan faktor cuaca negara ini yang tidak menentu, Encore Melaka dipentaskan di dalam bangunan bagi menjamin kelancaran pementasan, berbanding siri Impression di China, yang dipentaskan secara terbuka.

Selain mengetengahkan bakat artis tempatan ke peringkat antarabangsa, katanya, artis juga dapat menjadikan pementasan itu sebagai batu loncatan dalam mengembangkan karier.

“Dengan lebih sejuta penonton dari seluruh dunia bakal menyaksikan pementasan ini, artis kita dapat pendedahan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah mungkin dilamar untuk mengembangkan bakat mereka di luar negara.

“Lebih membanggakan kami sebagai syarikat tempatan, kami dapat mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan kebolehan kami tersendiri,” katanya.