Siti Halijah Muhidin, 34, berkata, kehidupannya kini semakin susah apabila memikirkan nasib kedua-dua anaknya, Syafiyah Nur Zahra Mohd. Faizal, 6 dan Mohammad Shakir Zulfayrie Mohd. Faizal, 8, yang mengidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, Syafiyah Nur Zahra baru-baru ini melalui pembedahan membuang ketumbuhan pada mata kanannya dan dia memerlukan perbelanjaan yang agak besar untuk tujuan itu.

“Syafiyah Nur Zahra memerlukan lima kali rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dia sudah kehilangan pe­nglihatan sebelah kanan ma­nakala pendengarannya juga se­makin merosot.

“Penyakit kansernya belum merebak ke mata kiri tetapi saya bimbang perkara itu akan berlaku. Saya hanya mampu berdoa,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Pangsapuri Kampung Bukit Kuda, di sini.

Tambah Halijah, keadaan kedua-dua anaknya itu turut menyebabkan dia serta suaminya, Mohd. Faizal Roslan, 34, berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal apabila terpaksa mencari wang tambahan sebanyak RM1,500 sebulan untuk menampung rawatan anak-anaknya di HKL.

Katanya, pendapatan suaminya tidak sampai RM2,000 sebulan manakala rumah yang didiami ketika ini dibayar sewa melalui bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Malah dia dan suami turut menanggung dua lagi anaknya termasuk yang paling bongsu, Muhammad Yusuf Zhafran berusia setahun dua bulan.

Terdahulu, Siti Halijah dikunjungi Ke­tua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop yang datang untuk melihat keperluan keluarganya.

Siti Halijah berkata, kesempitan hidup selepas anak-anaknya ditimpa penyakit kronik itu m­enyebabkan dia terpaksa memohon bantuan daripada pihak yang sudi membantu.

Pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik Siti Halijah Muhidin (12038025668932) atau boleh menghubunginya di talian 014-7364507.