Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0750/0790 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran tukaran asing kini berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari FOMC yang bermula hari ini.

“Tumpuan pastinya kepada kenyataan yang akan dikeluarkan oleh mesyuarat itu, dengan pasaran sebahagian besarnya menjangkakan pendirian FOMC berpihak kepada kadar faedah rendah, setelah mempertimbang prospek pertumbuhan global yang mencabar serta kadar inflasi rendah.

“Kontrak niaga hadapan Kadar Dana Rizab Persekutuan AS juga menunjukkan pergerakan ke arah penurunan kadar yang akan berlaku pada akhir 2019 dan awal 2020,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu lagi nota, beliau berkata bank-bank pusat utama seperti European Central Bank dan Bank of Japan turut dijangka mengambil pendekatan berhati-hati dalam menetapkan pendirian dasar monetari masing-masing.

“Faktor sedemikian sekali gus menyokong ringgit. Buat masa ini, mata wang tempatan kekal dalam jajaran kecil,” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6613/6659 daripada 3.6556/6602 pada Isnin serta turun berbanding euro kepada 4.6268/6321 daripada 4.6263/6312.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.4079/4149 daripada 5.4015/4084 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0170/0204 daripada 3.0152/0184.

-BERNAMA