Pengurus Besar Arnn Food Sdn. Bhd., Jarrod berkata, kes berkenaan berkaitan urusan penyewaan premis yang dibuat sejak November tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya telah membuat sejumlah pembayaran pendahuluan berdasarkan iklan yang dipamerkan di luar premis berkenaan namun membatalkan hasrat untuk menyewa setelah mendapati terdapat penipuan maklumat.

“Iklan-iklan tersebut menyatakan keluasan premis adalah 9,000 kaki persegi. Namun selepas membuat bayaran pendahuluan, kami mendapati saiz adalah jauh lebih kecil.

“Kami kecewa dengan hal itu kerana berharap untuk menjalin perniagaan dan kerjasama professional namun tidak mendapat balasan dan penghormatan yang sewajarnya.

“Usaha untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar menemui jalan buntu. Kami cuba selesaikan secara baik namun tidak mendapat penjelasan yang memuaskan hati,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Susulan daripada itu, dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi.

Tambah Jariod, demi kepentingan syarikat, tindakan undang-undang telah diambil terhadap pemilik premis.

“Namun kami mengharapkan kerjasama dari pihak berkaitan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera di luar mahkamah,” katanya. - UTUSAN ONLINE