Tatkala negara lain mengetengahkan barisan atlet terbaik mereka, Timor Leste yang mempunyai jumlah penduduk hampir satu juta orang ini membuktikan jalinan kerjasama dalam kalangan wakil kerajaan dan wakil dari negara-negara lain cukup utuh bagi menjayakan acara larian.

“Timor Leste masih muda, namun semangat yang ditonjolkan kesemua pihak terbabit dalam acara ini sangat menakjubkan,“ kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk M. Saravanan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seperti di negara lain, simbolik perasmian selepas wakil daripada Malaysia, Saravanan menyerahkan baton kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan merangkap Presiden Majlis Olimpik Timor Leste, Datuk Seri Francisco Kabualdy.

Atlet olahraga Timor Leste, Rubia Fatima Martins menerima baton daripada Kabualdy dan memulakan larian sejauh 1 kilometer (km) dari perkarangan Gimnasium GMT dengan sorakan semangat daripada kumpulan sorak serta pancaragam menuju ke Banco Nacional Ultramerino (BNU) bersama-sama pemain bola sepak kebangsaan, Decio de Perreira.

Saravanan bersama Duta Malaysia ke Timor Leste, Chitra Devi Ramiah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Haslina Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong turut berlari bagi memberi semangat kepada hampir 300 pelari sokongan pertama.

Jumlah pelari bertambah selepas melepasi hentian pertama di Mahkamah Dili (Dili District Court), Pejabat Presiden Timor Leste, Bangunan Kementerian Pertahanan Timor Leste serta beberapa pejabat kedutaan Jepun, Malaysia, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Larian sejauh 5 km di pesisiran pantai, merentasi beberapa lokasi tumpuan pelancong antaranya Rumah Api dan Jardim 5 de Maio atau Taman 5 Mei sebelum acara larian sejauh 10.1 km tamat di perkarangan Bangunan Sekretariat Belia dan Sukan Negara Timor Leste.

“Penglibatan anggota Jemaah Menteri, Menteri Belia dan Sukan Timor Leste dan wakil pelbagai kedutaan menunjukkan komitmen mereka terhadap Sukan SEA dan pembangunan di negara berkenaan,” kata Fatima.

Fatima menyerahkan kembali baton kepada Setiausaha Sekretariat Belia dan Sukan Timor Leste, Leovigilio Hornay sebelum Datuk Saravanan menerima kembali baton tersebut .

“Larian Baton ini sangat penting untuk golongan muda khususnya untuk mengambil bahagian dan ia akan memberi inspirasi buat kami untuk membangunkan sukan. Acara ini secara tidak langsung membentuk kesatuan antara negara ASEAN dan kami, malah ia mengukuhkan lagi hubungan antara Timor Leste dan Malaysia,”kata Hornay.

Antara wakil kedutaan yang hadir meraikan Larian Baton Bangkit Bersama termasuk dari Thailand, Filipina, Korea Selatan, Cuba dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Larian Baton Bangkit Bersama peringkat kelapan akan berlangsung di Kemboja pada 22 April ini.