Antara lokasi lain yang terlibat dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini sehingga Oktober tahun hadapan adalah seperti di Gunung Ledang, Johor, Gunung Bujang, Perak serta Gunung Rinjani, Indonesia.

Menurut Pengerusi Eksekutif Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, sebanyak 50 pendaki telah menyahut cabaran untuk ekspedisi ini dan mereka telah dibekalkan dengan pek makanan Brahim's All Day Adventure.

"Dengan adanya pek yang mengetengahkan makanan segera berasaskan nasi, ikan bilis, ayam serta daging seperti Nasi Briyani Kambing, Nasi Lemak dan Sambal Ikan Bilis, Nasi Arab Kambing, Nasi Goreng Ikan Masin, Nasi Keju Cendawan, Nasi Goreng Ayam dan Nasi Tomato itu, pergerakan para pendaki akan menjadi lebih pantas sekali gus dapat menjimatkan masa mereka.

"Ini kerana jika mereka berhenti di sesuatu tempat untuk makan, mereka tidak lagi perlu mengambil masa lama untuk memasak kerana cuma perlu merendamkannya ke dalam air yang mendidih selama beberapa minit sebelum membukanya untuk makan," katanya di sini hari ini.

Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan acara pelepasan kepada 50 pendaki yang juga turut disertai pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin untuk menawan Gunung Nuang yang setinggi 1,493 meter itu.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim serta Pengurus Pemasaran dan Penjualannya, Fazil Othman.

Menurut Ibrahim lagi, kaedah membawa makanan dalam tin adalah paling popular sebelum ini namun penyediaannya agak leceh dan lebih-lebih lagi untuk dilakukan dalam keadaan hutan dan gunung yang serba mencabar.

"Walau bagaimanapun, pek makanan yang disediakan itu bukan sahaja sesuai untuk para pendaki malah ia telah digunakan secara meluas oleh golongan askar, angkasawan dan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara," katanya.

Dalam masa sama, Nur Fatin memberitahu bahawa rakyat Malaysia kebiasaannya cukup risau jika tidak menemui sebarang makanan halal terutamanya apabila sedang melancong atau terpaksa menjalankan tugas ke luar negara.

"Oleh itu, Dewina tampil bersama penyelesaiannya dengan memperkenal produk makanan jenama Brahim's yang telah berada di pasaran sejak tahun 1988 dan kini bakal menyambut ulang tahunnya ke-30 pada Julai hadapan," katanya. - UTUSAN ONLINE