Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pembinaan dewan itu merupakan inisiatif pihaknya dalam memperkasakan modal insan untuk membentuk komuniti yang berkemahiran, harmoni dan sejahtera seiring Pelan Strategik MPSJ 2012-2030.

“Dewan serba guna ini mempunyai keluasan seluas 0.17 hektar dan reka bentuk dewan ini berkonsep moden di mana ia mempunyai dua aras serta mempunyai kemudahan seperti tempat meletak kenderaan, tandas, bilik, pentas utama, gelanggang badminton dan bilik mesyuarat.

“Kemudahan ini menelan kos pembinaan sebanyak RM3.064 juta dan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan bermula 1 Julai 2015 sebelum siap pada 3 Ogos lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Dewan Serba Guna MPSJ USJ 7.

Bersempena majlis pembukaan dewan itu, turut diadakan Karnival Wanita Inspirasi Ekonomi, pertandingan badminton dan aktiviti senamrobik yang menarik minat kira-kira 300 peserta.

Karnival anjuran bersama MPSJ dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat khususnya kaum wanita kurang berkemampuan mengikuti program berbentuk bengkel dan seminar usahawan bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka. - UTUSAN ONLINE