Presiden Persatuan Autoshow Malaysia, Mohd. Roslan Mohd. Rafi berkata, program bagi meraikan sambutan Hari Pekerja itu mengetengahkan pelbagai jenama dan model kereta antaranya Proton Satria, BMW, Toyota, Nissan termasuk Lamborghini dan Ferrari.

“Program tersebut bertujuan mengangkat sukan permotoran negara selain memupuk minat anak-anak muda untuk terlibat dalam aktitivi sihat seiring dengan minat dan kemahuan mereka.

“Festival ini mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai hampir 500 peserta yang masing-masing mempersembahkan hiasan dan ubah suai menarik untuk dipertontonkan kepada 10,000 pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Anuar Mhd. Juri.

Pada program sama, penganjur turut mengadakan pertandingan kepada peserta melibatkan tiga kategori iaitu ubah suai terbuka, ekstrem terbuka dan old school.

“Pemenang dipilih berdasarkan kreativiti, kebersihan, kekemasan dan kecantikan hiasan dan warna selain kegunaan alat elektronik dan aksesori pada kenderaan masing-masing,” katanya sambil menambah program itu akan dilaksanakan secara tahunan. - UTUSAN ONLINE