Itu peribahasa tepat bagi menggambarkan sikap tidak peduli Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu kebersihan di sebuah tanah lapang berhampiran Pejabat Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Jalan Cheras, di sini.

Agensi tersebut yang sepatutnya berperanan dalam me-merangi isu pencemaran alam sekitar di ibu kota seolah-olah membisu dan menutup mata apabila membiarkan sahaja tapak terbiar itu dipenuhi longgokan sampah sarap termasuk sisa bahan binaan.

Difahamkan, kawasan tapak berkeluasan kira-kira 1.6 hektar di Jalan 3/93A berdekatan Kondominium Warisan Cityview itu dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar selain me­nimbulkan risiko kesihatan kepada orang ramai terutama penduduk di kondominium berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, pelbagai jenis sampah terdiri daripada sisa pepejal hingga sampah pukal seperti perabot, kayu, batu dan sisa binaan ditemui di beberapa lokasi di dalam kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa, ia bukanlah masalah baharu sebaliknya berlarutan sejak sekian lama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kala­ngan mereka.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kesihatan mereka berikutan lokasi tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes selain habitat haiwan berbisa.

Utusan Malaysia difahamkan kawasan yang dahulunya merupakan lokasi penempatan setinggan sebelum dirobohkan untuk tujuan pembangunan itu sehingga kini tidak diketahui statusnya.

Berdasarkan pemerhatian, kawasan itu dipenuhi semak-samun yang tumbuh menebal.

Dakwa penduduk selain mencemarkan pemandangan, mereka sering terhidu bau busuk lebih-lebih lagi ketika hujan.

Sehubungan itu, penduduk meminta DBKL lebih peka dan bertindak segera menangani permasalahan itu demi menjaga imej bandar raya dan memastikan kese­jahteraan penduduk terjamin.

Ini bertepatan dengan usaha pihak berkuasa tempatan itu untuk melindungi dan memperbaiki kualiti alam sekitar di bandar raya selain meningkatkan status kesihatan setiap warganya.