ANGGOTA penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi penundaan kereta buruk di Jalan Pantai Dalam, Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, lambakan ken­deraan buruk itu antara lain berpunca daripada sikap pemilik sendiri.

“Kegagalan pemilik ken­deraan mengalihkan ken­deraan mereka menyebabkan tindakan terpaksa diambil kerana ia menghalang laluan awam sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

“Notis dikeluarkan serta-mer­ta sehari sebelum tindakan penguatkuasaan. DBKL juga me­nasihatkan pemilik bengkel supaya mengalihkan motor buruk ke lokasi lain sebelum dikenakan tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini Jumaat lalu me­laporkan masalah ke­se­sakan di kawasan ini ekoran kenderaan buruk selain sikap pengunjung dan pemilik bengkel meletakkan kenderaan pelanggan di bahu jalan.

Beliau berkata, kenderaan itu dihantar ke depoh simpanan DBKL sebelum surat makluman diberikan kepada pemilik untuk membuat tuntutan dalam tempoh sebulan.

Malah pemilik kenderaan akan dikenakan caj tuntutan iaitu kos alihan DBKL sebanyak RM100 dan kos penyimpanan di depoh sebanyak RM5 sehari.