NOTIS sita projek pembinaan bersebelahan Taman Ayer Panas di Lorong Air Kuning 5, Kuala Lumpur kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.- UTUSAN ONLINE

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis penguatkuasaan seksyen 70(13)(d) AJPB 1974 kepada pemaju supaya menghentikan kerja serta-merta manakala tapak operasi telah disita.

“Tindakan itu diambil atas kesalahan melanggar syarat-syarat bertulis daripada Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan tapak telah diarahkan tutup sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.

“Kami telah mengadakan operasi di tapak berkenaan pada pukul 3.40 petang pada hari ini namun tiada sebarang aktiviti ditapak pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan penduduk di kawasan Taman Ayer Panas di Lorong Air Kuning 5 mendesak pemaju agar pembinaan projek kondominium itu dihentikan serta merta kerana menganggu ketenteraman serta keselamatan penduduk. -UTUSAN ONLINE.