Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, program Kayuhan Biru yang dianjurkan adalah sebahagian daripada inisiatif pihak berkuasa tempatan itu dalam usaha menjadikan KuaIa Lumpur mampan dan moden.

Menurutnya, ia juga inisiatif bagi mempromosikan budaya berbasikal itu selari dengan usaha menjadikan ibu negara sebagai ‘Bandar Mesra Basikal’.

Katanya, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan warga kota dengan fasiliti baharu lorong basikal yang diwujudkan.

“Diharapkan warga kota me­nyambut baik usaha ini untuk me­mastikan Kuala Lumpur bebas daripada asap kenderaan, sekali gus mengurangkan pencemaran karbon dioksida,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di sini baru-baru ini.

Seramai 100 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan DBKL serta wakil media menyertai program itu yang bermula di Dataran DBKL di Jalan Raja Laut ke Menara DBKL 3 di Jalan Raja Abdullah dan berpatah semula ke Dataran DBKL sejauh 3.6 kilo-meter.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana KL Car Free Morning Datuk Naim Mohamed, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor.