Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Wilson Lau Hoi Keong berkata, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan se­gera termasuk menampal lu­bang dan mengecat garisan jalan di Jalan Damansara, Sungai Penchala.

Katanya, jalan yang dimaksudkan penduduk berada dalam kawasan pentadbiran DBKL manakala kerja-kerja pembangunan pula dalam kawa­san MBPJ.

“Perintah pembangunan di­ke­luarkan oleh MBPJ kepada beberapa projek yang berlangsung di sebelah Jalan Damansara dengan jaraknya kurang 100 meter daripada kawasan penempatan penduduk pinggir bandar ini.

“Perkara ini akan dipanjangkan kepada MBPJ agar pertemuan antara pemaju dan penduduk setempat dapat diadakan bagi menangani masalah yang timbul melibatkan kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat MBPJ, Hasbullah Juyahir berkata, sebarang rundingan dan bentuk kerjasama demi kesejahteraan penduduk akan didahulukan termasuk kawasan yang berada luar pentadbirannya.

Katanya, penelitian termasuk siasatan berhubung syarat-syarat yang terkandung dalam perintah pembangunan akan disemak bagi mengelak sebarang bentuk pencemaran atau kacau ganggu kepada penduduk berhampiran sepanjang projek berlangsung.

“Tindakan pembatalan bo­leh diambil sekiranya terdapat pelanggaran syarat terma-suk waktu operasi kerja tanah mahupun mana-mana aspek keselamatan di dalam tapak binaan dan luar kawasan,” katanya.