Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzillah Abd. Rashid berkata, pihaknya sedang merangka Pelan Pengurusan Pokok Berisiko dengan memberi keutamaan di kawasan tepi jalan.

Sehubungan itu kata beliau, kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan pokok akan diwajibkan melantik seorang arborist yang akan melakukan pemeriksaan pokok secara fizikal.

“Hasil daripada laporan arborist itu akan digunakan oleh DBKL untuk mengenal pasti pokok-pokok berisiko yang memerlukan tindakan lanjut,’’ katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas kejadian pokok tumbang di Jalan Ampang yang berlaku hari ini, Fadzillah berkata, pokok-pokok di kawasan itu diselenggara mengikut jadual iaitu dua kali setiap tahun.

“Menurut rekod kami, penyelenggaraan kali terakhir di situ melibatkan penebangan tiga batang pokok, 70 cantasan dan kawalan akar melibatkan 19 pokok,’’ katanya.

Bagaimanapun dalam kejadian itu katanya, kejadian berlaku di luar jangkaan kerana pokok berusia lebih 130 tahun itu mengalami pereputan pada akar yang agak serius.

“Secara luaran pokok berkenaan berada dalam keadaan baik tapi pemerhatian di tapak mendapati akar pokok mengalami pereputan akar yang menyebabkannya tidak stabil dan mudah tumbang.

“Pokok daripada spesies Hujan-Hujan yang mempunyai saiz ukur lilit 4.65 meter itu merupakan antara tanaman landskap terawal di Jalan Ampang,’’ katanya.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi tadi, sepasang suami isteri dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi pokok tumbang berkenaan. - UTUSAN ONLINE