Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, sebanyak 4,732 kes telah diambil tindakan senarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kegagalan membayar tunggakan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

“DBKL mengambil langkah dengan memberi tawaran kadar kompaun khas kepada pesalah lalu lintas berkuat kuasa 15 Disember ini sehingga 28 Februari tahun hadapan untuk menjelaskan tunggakan kompaun bagi mengelak tindakan senarai hitam terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadzilah, tawaran melibatkan potongan diskaun sebanyak RM20 bagi notis kesalahan untuk pemilik motosikal, RM30 bagi kereta serta RM50 bagi kenderaan berat termasuk bas, lori dan lain-lain.

“Bagaimanapun, tawaran ini tertakluk kepada kes kesalahan lalu lintas sahaja dan tidak untuk kes yang telah dibawa ke mahkamah atau kes disenarai hitam oleh JPJ,” katanya.

Katanya, pesalah lalu lintas disaran menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan notis kompaun yang masih belum dijelaskan dan bayaran boleh dilakukan dimana-mana kaunter bayaran DBKL. - UTUSAN ONLINE