Rombongan itu diketuai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala yang meluangkan masa hampir sejam bertemu keluarga mangsa selain meninjau lokasi kejadian dan permasalahan berlaku di kawasan terbabit.

Loga Bala berkata, beliau mengarahkan DBKL supaya mengambil tindakan selanjutnya selain meminta pihak polis menyiasat kejadian itu.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohamad Ghazali Nor dan Pengerusi Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam semalam, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas bangunan Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini. - UTUSAN ONLINE