Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, langkah itu diambil selepas pemasangan alat tersebut didakwa membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

“DBKL akan mengkaji semula perkara tersebut apatah lagi terdapat bantahan daripada pengguna jalan raya.

“Kami akan cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kesejahteraan warga kota secara keseluruhannya, “ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran SkyWorld Quality Centre yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Terdahulu, insiden kemalangan motosikal didakwa berpunca daripada pemisah laluan basikal di simpang Jalan Sultan Ismail berdekatan pusat beli-belah Maju Junction menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Posting dengan gambar seorang lelaki duduk berlunjur dengan kesan luka dan darah itu kemudian dikongsi sebanyak ratusan kali selain ribuan komen netizen. - UTUSAN ONLINE