Konsert julung kali dengan kerjasama Yayasan Artis Malaysia 1Malaysia (YA1M) itu akan dijayakan beberapa artis terkenal irama Malaysia iaitu Norazira Idris, Farawahida, Monoloque, Haziq Rosebi, Asmidar dan Hisham Adrizal serta diacarakan Burn dan Nana Mahazan.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Zaharudin Basiron berkata, lebih istimewa apabila persembahan itu bakal diiringi 58 pemuzik orkestra yang dipimpin Khairil Anuar Bahari.

“Program ini sebagai satu bentuk kesinambungan daripada kempen Save Irama Malaysia yang digerakkan ratu etnik kreatif Noraniza Idris yang bertujuan memberi impak dan mendidik orang ramai tentang pentingnya memelihara irama Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE