Walaupun terletak di kawasan tumpuan pelancong, ia seperti hilang daya tarikan selepas beberapa kejadian banjir yang pernah menenggelamkan ratusan kenderaan di ruang letak kenderaan di situ.

Sedekad berlalu, Dataran Underground kini seperti me­nerima ‘nafas baharu’ apabila kembali menjadi tumpuan warga kota sebagai tempat menjamu selera terutama pada waktu tengah hari.

Medan selera yang bernaung di bawah pengurusan Restoran De Sambal Ayam Kampung itu menempatkan sebuah restoran dan enam buah gerai yang menghidangkan lebih da­ripada 40 lauk-pauk setiap hari termasuk hidangan Barat dan makanan laut Shellout.

Pengasas bersama restoran berkenaan, Mohd Aminuddin Ibrahim dan Mohd Rimi Ismail berkata, restoran yang beroperasi sejak setahun lalu itu semakin popular dalam kalangan warga kota terutama yang bekerja dan melawat tarikan di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Sajian Melayu Kelantan yang disediakan di sini adalah ayam kampung goreng, gulai kawah, ikan dan ayam percik, paprik, ayam berempah dan tujuh jenis sambal pelbagai rasa yang menjadi ‘trademark’ restoran ini.

“Selain itu, ruang makan yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang pelanggan ini juga menempatkan restoran francais Ani Sup Utara dan gerai yang menawarkan menu pada harga RM7,’’ katanya.

Lebih menarik menurut Mohd. Rimi, pihaknya turut menyajikan nasi lemak pada harga 50 sen sebungkus pada waktu minum petang.

Pada hari Jumaat pula, hidangan nasi ayam kampung pula ditawarkan pada harga serendah RM5.

Mohd Rimi berkata, perniagaan di Dataran Underground bermula dengan hanya gerai kecil pada tahun 2015 sebelum membuat keputusan menyewa keseluruhan ruang makan di situ.

Kata beliau, pihaknya berharap sajian makanan Melayu yang disajikan dapat memper­kenalkan keenakan makanan tempatan kepada pelancong.

“Sebenarnya pelancong yang melawat pusat bandar tidak perlu pergi jauh untuk menikmati masakan tempatan.

“Cuma kebanyakan acara berlangsung di Dataran Merdeka jadi tidak ramai yang tahu kewujudan medan selera ini,’’ katanya.

Pada masa yang sama, pihaknya turut giat menganjurkan pelbagai acara seperti ceramah agama, persembahan gamelan dan boria untuk mempromosikan tempat itu.

“Tempat ini pernah popular suatu ketika dahulu dan kami yakin dapat menarik pelancong makan di sini melalui penganjuran acara-acara yang menarik,’’ katanya.

Selain itu, lokasi yang mempunyai kira-kira 500 petak letak kenderaan itu juga dibuka untuk tempahan majlis perkahwinan.

“Selain menikmati makanan, pelanggan restoran juga diberikan kadar parkir tetap sebanyak RM5 pada hari biasa manakala RM7 bayaran selepas pukul 7 malam dan pada hari cuti umum,’’ katanya.