KEENAKAN Roti Kaya Junus dipadankan dengan sekaya yang menggunakan resipi turun-temurun.
KEENAKAN Roti Kaya Junus dipadankan dengan sekaya yang menggunakan resipi turun-temurun. 

Namun bagi masyarakat di Teluk Intan, Perak, Roti Kaya Junus mempunyai keunikan rasa yang tersendiri.

Dimasak menggunakan da­pur arang, Roti Kaya Junus merupakan antara warisan roti benggali yang masih kekal sehingga hari ini sejak diasaskan 48 tahun lalu.

Pemilik dan juga pengasas­nya, Mohd. Junus Mohd. Hanif, 69, berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai saingan di pasaran, roti yang dihasilkan secara tradisional itu masih mendapat sambutan kerana keunikan rasanya.

“Antara keistimewaan yang sering diperkatakan pelanggan mengenai roti ini adalah tekstur yang lembut dan aroma yang unik kerana dimasak menggunakan dapur kayu arang,’’ katanya.

Menurut Mohd. Junus, wa­lau­pun tidak mempunyai ki­lang atau premis khas, beliau mampu menghasilkan kira-kira 4,000 buku roti setiap hari di rumahnya di Padang Tembak, Teluk Intan.

MAT ISA MOHD. JUNUS di hadapan gerai perniagaannya di Hentian
MAT ISA MOHD. JUNUS di hadapan gerai perniagaannya di Hentian 

Ekoran sambutan mengga­lakkan terhadap produk yang diusahakan bapanya, Mat Isa, 25, sejak tiga tahun lalu telah memperluaskan jualan roti kaya itu ke beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dan Selangor menggunakan van.

“Idea untuk ‘membawa’ roti ini lebih jauh diilham daripada kegigihan ayah yang memulakan perniagaan dengan menggunakan basikal.

“Sekarang dengan kemudahan pengangkutan yang ada, saya pula yang meneruskan legasi Roti Kaya Junus.

“Cara ini diharap dapat memberi peluang kepada pelanggan di sini menikmati rasa roti dan kaya buatan kampung yang menjadi sebutan orang Perak,’’ katanya ketika ditemui di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Mat Isa, perniagaan yang disertai oleh lima orang ahli keluarga terdekat itu kini beroperasi di lima lokasi iaitu Bandar Tun Hussein Onn, Putrajaya, Bukit Damansara, Shah Alam dan Seri Kembangan serta sebuah kiosk di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh.

Katanya, perniagaan berge­rak menggunakan van itu memberi banyak kelebihan untuk berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

Menceritakan penghantaran roti dari kampung halamannya ke Kuala Lumpur setiap hari, Mat Isa berkata dia terpaksa melalui proses tersebut kerana bekalan tidak disimpan melebihi satu hari.

“Demi memastikan roti-roti ini sentiasa segar, saya terpaksa berulang ke Teluk Intan untuk memasak dan mengambil stok pada setiap hari,’’ katanya.

SET Roti Kaya yang menjadi permintaan tinggi untuk pelanggan menikmati
SET Roti Kaya yang menjadi permintaan tinggi untuk pelanggan menikmati 

Menurut Mat Isa, sebaik sahaja sampai di Kuala Lumpur beliau akan mengagihkan bekalan roti kepada lima buah van yang akan memulakan perniagaan di lokasi masing-masing bermula pukul 8 pagi,’’ kata­nya.

Mat Isa berkata, bermula de­ngan hanya perisa kaya, Roti Kaya Junus kini turut menampilkan perisa kelapa dan kacang.

Sebuku roti benggali dijual pada harga RM7, satu set roti kacang (RM6) manakala satu set roti kaya dan kelapa (RM5).