Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Jailan Simon berkata, cuaca panas yang dialami antara Februari hingga pertengahan April merupakan penghujung monsun timur laut yang menyebabkan kadar hujan yang rendah.

Katanya, bagaimanapun orang ramai harus sentiasa berwaspada dengan mengamalkan minum air yang banyak serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah kepada strok haba serta masalah kesihatan yang lain.

“Pada masa ini lumrahnya memang panas. Matahari pun menghampiri khatulistiwa, kita memang alami situasi ini setiap tahun tapi jangan bimbang sangat sebab kita tak jangka cuaca panas yang ekstrem akan berlaku.

“Cuaca panas dijangka berkurangan menjelang hujung April nanti. Sebab kita jangka musim peralihan monsun akan masuk hujung Mac dan cuaca panas akan berkurangan menjelang hujung April, “ katanya dalam program terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini.

Jalian berkata, walaupun suhu panas dianggar meningkat 0.5 hingga 1 darjah celcius berbanding keadaan biasa namun ia masih dianggap normal dan tidak sehingga mencapai suhu ekstrem seperti kejadian El Nino pada 2016.

Katanya, fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada Mei nanti agak lemah dan tidak memberi impak yang signifikan kepada cuaca di negara ketika ini.

Jabatan itu sentiasa memantau suhu semasa setiap hari dan berkongsi maklumat dengan Agensi Pengurusan Bencana dan agensi lain seperti Jabatan Kesihatan dan Pendidikan untuk tindakan sewajarnya.

Tambah beliau, perkara yang menjadi kebimbangan ketika cuaca panas adalah paras air di empangan merosot disebabkan taburan hujan berkurangan seperti yang berlaku di Johor dan Sabah ketika ini dan seterusnya berkemungkinan menghadapi krisis air. – BERNAMA