Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen berkata, CFO perlu menjadi pemerhati kepada syarikat bagi memastikan ketelusan dan mengukuhkan keyakinan para pelabur terhadap industri dan pasaran modal.

Menurut beliau, tadbir urus adalah asas kepada ketelusan dan jika melaksanakan proses dengan telus, pelabur akan kembali semula sama ada untuk pelaburan jangka panjang, pelaburan langsung asing (FDI) atau pasaran ekuiti.

“Jika CFO tegas dan menyatakan tidak atau jika sekiranya mereka melihat sebarang salah laku, mereka perlu menyuarakannya. CFO tidak boleh takut untuk menyatakan sesuatu jika mereka rasakan ia bertentangan dengan amalan biasa,” katanya kepada pemberita pada Persidangan CFO 2019 di sini hari ini.

Tambah Shireen Ann Zaharah, adalah penting bagi setiap orang untuk bersatu sebagai satu kumpulan bagi memperkasakan antara satu sama lain untuk menjadi lebih menonjol dan kukuh.

Katanya, dengan memiliki asas yang kukuh yang mana setiap individu mengetahui CFO tidak akan bertolak ansur dengan perkara yang tidak munasabah, persoalan mengenai kontrak dan akan menegur perkara yang tidak betul selain merujuk kepada undang-undang.

“Ia adalah ciri-ciri penting seorang CFO yang kita perlukan dalam organisasi,” katanya.

Mengenai usaha membawakan lebih ramai pelabur ke negara ini, Shireen Ann Zaharah berkata, liputan berita-berita negatif media terhadap negara perlu dihentikan dan menggesa untuk mula memperkatakan tentang reputasi baik yang dimiliki Malaysia.

“Malaysia adalah negara yang orang perlu melabur. Kita seharusnya tidak dilihat seperti apa yang berlaku kebelakangan ini dan ia perlu ditukar kerana kita memiliki pekerja kemahiran tinggi, kepelbagaian sumber dan institusi yang baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE