Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, secara dasarnya Abdul Khalid dan Pas mempu­nyai pendirian sama berhubung masalah dialami oleh syarikat pelaburan strategik negara itu.

Jelas beliau, kedua-dua pihak menolak sistem, budaya urus niaga dan pelaburan yang lemah serta terdedah kepada penyelewengan, rasuah dan salah laku.

“Beliau (Abdul Khalid) hadir dalam perbincangan meja bulat antara Pas dan pihak 1MDB semalam dan turut berkongsi pandangan. Perbincangan turut dihadiri oleh beberapa pakar ekonomi dan perundangan serta lebih 20 orang pimpinan Pas.

“Abdul Khalid turut sinis terhadap campur tangan pihak asing yang pasti tidak akan menguntungkan rakyat dan negara,” katanya dalam status di Facebook beliau hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas melihat hasrat untuk menyaksikan 1MDB kembali berada di landasan terbaik boleh direalisasikan, berdasarkan usaha dan komitmen pihak terlibat untuk memastikan pelan rasionalisasi 1MDB berjaya.

Katanya, keyakinan itu hadir selepas me­ngadakan pertemuan meja bulat melibatkan beberapa pemimpin kanan Pas dan 1MDB yang dike­tuai oleh Presidennya, Arul Kanda Kandasamy.

Jelas beliau, berdasarkan pertemuan diadakan, parti Islam itu berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda khususnya berkaitan pelan rasionalisasi yang telah dicadang dan di­usahakan oleh pentadbiran 1MDB dan ke­rajaan.