Pengerusi Persatuan Sahabat Taman Pudu Ulu, Tan Sri Lee Lam Tyhe berkata, alat bantuan keselamatan yang berfungsi dengan mengeluarkan bunyi siren apabila ditekan itu dipasang sebagai langkah pencegahan jenayah dan memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan.

“Tidak semua yang datang ke sini untuk beriadah. Ada juga yang datang untuk memeras ugut, memecah kereta dan sebagainya.

“Penyediaan butang kecemasan di taman ini adalah satu langkah yang baik. Jika diekori orang yang mencurigakan, pengunjung hanya perlu menekan butang ini dan siren akan berbunyi.

“Pengawal keselamatan dan anggota peronda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertugas ketika itu akan segera ke lokasi berkenaan untuk memberi bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penyediaan Butang Kecemasan di Taman Pudu Ulu dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, hari ini.

Tambahnya, selain digunakan untuk tujuan keselamatan, butang kecemasan itu juga boleh digunakan untuk situasi cemas seperti serangan jantung dan sebagainya.

“Butang kecemasan yang disediakan itu adalah sebagai jaminan keselamatan kepada pengunjung justeru kami berharap orang ramai akan lebih bertanggungjawab untuk menjaga dan tidak melakukan vandalisme,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihaknya mencadangkan agar DBKL memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kenderaan di taman berkenaan sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan. - UTUSAN ONLINE