Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.79 mata kepada 1,691.73 daripada 1,690.94 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.54 mata lebih kukuh pada 1,692.48.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 114 berbanding 91, manakala 187 kaunter kekal tidak berubah, 1,496 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 102.69 juta saham bernilai RM42.84 juta.

Dalam nota hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata pelabur akan menunggu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) minggu ini untuk mendapatkan petunjuk baharu terhadap dasar monetari negara maju itu.

“Fed dijangka mengawal jangkaan bagi kenaikan kadar faedah tahun ini semasa mesyuarat dua hari bermula pada Selasa, manakala tumpuan akan terarah kepada sebarang rancangan bagi mengurangkan lembaran imbangannya dan jangkaan ekonomi oleh bank-bank pusat,” menurutnya.

Dari sudut teknikal, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran antara 1,670 dan 1,700 mata hari ini, dengan sokongan pada aliran rendah di paras 1,658 dan 1,645.

“Berdasarkan sifat pembelian secara bergilir-gilir, pasaran tempatan mungkin akan matang bagi pengambilan untung dalam tempoh terdekat,” katanya. - BERNAMA