Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata,penutupan itu bertujuan bagi kerja-kerja mitigasi dan pemulihan tanah oleh pihak Jabatan Kerja Raya ekoran aktiviti penerokaan di atas tanah kerajaan negeri itu seluas kira-kira 57 hektar.

“Langkah penutupan ini perlu bagi memastikan keselamatan pengunjung yang mendaki dan berekreasi di Bukit Broga serta mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku akibat daripada penerokaan tanah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Broga hari ini.

Menurut Elizabeth, keputusan penutupan itu hasil daripada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) semalam, selain bersetuju supaya Bukit Broga diwartakan sebagai kawasan rekreasi di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara pihak Majlis Perbandaran Kajang.

Awal bulan lalu, Mingguan Malaysia membongkar isu penerokaan sebahagian tanah Bukit Broga yang menjadi gondol, selain kadar caj yang dikenakan terhadap pendaki di kawasan itu. - UTUSAN ONLINE