Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan memberi jaminan ia akan disiasat segera sekiranya terdapat bukti kukuh terhadap dakwaan berkenaan.

Tegasnya, pihaknya juga bersedia untuk disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan menzahirkan kerjasama penuh terhadap isu berkenaan.

“Pada saya, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku dalam DBKL terutama dalam jabatan penguatkuasaan, saya bersedia dan akan membantu siasatan.

“Jika siasatan mendapati ada unsur-unsur tersebut, tindakan tegas akan dikenakan sehingga di peringkat amaran dibuang pekerjaan sekiranya mempunyai bukti kukuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenya­taan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan akan mengarahkan PDRM menjalankan siasatan segera jika benar laporan terdapat orang tengah digelar sebagai pegawai perhubungan awam (PR) memainkan peranan membantu sindiket judi haram beroperasi di negara ini.

Dalam pada itu, Mhd. Amin Nordin berkata, pihaknya menyokong penuh usaha yang dilakukan PDRM terma­suk laporan yang dibuat untuk terus memburu PR yang dikatakan adalah dalam kalangan penguatkuasa.

“Perkara ini sememangnya sudah melanggar tatatertib dan undang-undang yang termaktud dalam penjawat awam. Jadi, tindakan tegas boleh diambil.

“Bagaimanapun saya tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan berkaitan dengan penguat kuasa DBKL, tetapi sekiranya ada siasatan boleh dijalankan,” katanya lagi.