Menyedari minat terhadap sukan itu, Pertandingan Boling Piala Johan Aziz baru-baru ini berjaya dianjurkan dengan penglibatan sebanyak 48 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Hulu Langat.

Antara yang turut serta termasuk wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Hospital Kajang, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz, penganjuran pertandingan bukan sekadar persaingan merebut hadiah tetapi untuk mengeratkan silaturahim antara peserta.

“Usaha ini kita perlu buat dengan pelbagai cara bukan sahaja dalam bentuk sukan, tetapi acara keraian dan bantuan kepada masyarakat.

“Ini merupakan salah satunya dan penganjuran ini dilihat meriah dengan penyertaan pelbagai pihak di semua kawasan parlimen ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Johan memberitahu, pihaknya akan terus komited untuk mendekati masyarakat terutama mereka yang memerlukan bantuan kerana menjadi tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Ujarnya, perjuangan untuk rakyat ini menjadi keutamaan pihaknya tanpa mengambil kira keturunan dan peringkat umur serta merangkumi pelbagai aspek yang dekat dengan denyut nadi masyarakat. - UTUSAN ONLINE