Bagaimanapun keputusan itu tidak akan mengecualikan mereka yang terbabit daripada siasatan dan tindakan ekoran pencerobohan itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, sekiranya kerajaan ingin menjual tanah seluas 0.14 hektar itu, ia harus dibuat mengikut harga dan nilai pasaran.

“Bangunan yang dibina itu berada di atas tanah milik kerajaan. Oleh itu, PTG berhak menuntut bangunan itu jika ada sebarang pertukaran pemilikan.

“Saya juga ingin jelaskan kepada semua bahawa saya tidak pernah nyatakan sebarang nilai tanah berkenaan kepada pemberita semalam.

“Saya hanya memperkatakan keluasan tanah sahaja namun telah disalah tafsir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Khalid semalam mendedahkan pencerobohan dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi oleh sebuah syarikat yang mendakwa mendapat kebenaran menduduki tanah berkenaan daripada pihak tertentu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, perkara itu dipercayai melibatkan penyelewangan dan salah guna kuasa oleh pihak atasan dalam DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Siasatan mengenai perkara ini akan dilakukan dan pemilik bangunan tetap berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menurut Khalid, Kedua-dua lot tanah berkenaan pada asalnya adalah kawasan lapang yang digunakan untuk tujuan riadah orang ramai sebelum diceroboh untuk pembinaan sebuah bangunan pejabat dan gerai buah-buahan.

Tambahnya, kerajaan turut mempertimbangkan sekiranya wujud keperluan untuk mengembalikan kawasan tersebut kepada keadaan asal.