Beliau berkata ini berdasarkan maklum balas daripada akar umbi serta sokongan dan keyakinan rakyat yang semakin meningkat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman di peringkat negeri.

"Berdasarkan maklum balas yang saya terima, ada penyokong pembangkang yang tidak puas hati dengan wakil rakyat pembangkang yang gagal membawa apa-apa pembangunan di DUN Klias sejak pilihan raya yang lepas.

"Ini merupakan petanda baik untuk BN dan saya yakin dengan kerjasama parti-parti komponen BN yang lain, kita mampu merampas semula kerusi DUN Klias," katanya kepada Bernama ketika ditemui sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Isnin berkata kekuatan parti terletak pada sokongan rakyat terhadap BN yang telah membuktikan keupayaannya untuk terus membela nasib rakyat khususnya di kawasan DUN Klias.

"Kita mahu dalam pilihan raya nanti, BN menang besar. Oleh sebab itu, pada masa ini kita memfokuskan kepada persediaan pilihan raya yang diadakan tidak lama lagi," katanya.

Pada pilihan raya lepas, Isnin yang juga calon BN DUN Klias tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dengan majoriti tipis 179 undi.

Isnin memperoleh 6,145 undi manakala Lajim meraih 6,324 undi.

Bagaimanapun, Lajim mengisytiharkan keluar daripada PKR pada Oktober tahun lepas dan kemudian menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah dan memegang jawatan presiden parti itu.

Sebelum menyertai PKR pada 2012, Lajim merupakan anggota Majlis Tertinggi UMNO dan pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - BERNAMA