Marhaini yang berasal dari Rawang berkata, dia tidak menyangka biskut yang dicipta buat pertama kalinya itu berjaya menambat hati juri, sekali gus membawa pulang baucar Seng Heng bernilai RM1,500 dan produk Planta.

“Saya bersyukur kerana segala penat lelah menghasilkan resipi ini akhirnya membuahkan hasil dan ia membawa saya ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

“Sebenarnya saya memang gemar membuat biskut di rumah hanya untuk tujuan makan dengan anak-anak.

“Rezeki kejayaan ini saya kongsikan bersama mereka yang menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan biskut ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seramai 12 peserta akhir terpilih dalam pertandingan tersebut dengan hadiah keseluruhan ditawarkan melebihi RM11,000.

Kempen Peraduan Setulus Hati yang berlangsung selama sebulan itu bertujuan berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik menerusi kuih-muih hasil ciptaan seorang ibu.

Sebanyak 5,000 biskut Almond Stripe diagihkan kepada badan kebajikan iaitu Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Suci Rohani, Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih dan Rumah Anak Yatim Nur Hidayah. - UTUSAN ONLINE.