Pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UniversitI Islam Malaysia Cyberjaya (UIM), Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis berkata, kegagalan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan Dr. Mahathir antara contoh kelemahan yang ditunjukkan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

“Mungkin kita perlu mengimbau kembali sejarah bagaimana PPSMI sejak lama dahulu tidak berkesan melahirkan individu yang berjaya menguasai bahasa Inggeris apabila terdapat jurang yang amat ketara antara pelajar bandar dan luar bandar.

“Hakikatnya dengan semua permasalahan tersebut, PPSMI menjadi satu beban dan penghalang kepada kebanyakan pelajar luar bandar untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan.

“Adakah PPSMI hanya untuk orang bandar sahaja? Orang luar bandar tidak mahu berjayakah?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Dr. Mahathir yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding memperkasa bahasa Melayu ketika menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Muhammad Bukhari berkata, Dasar Pandang ke Timur yang diharapkan menjadi alat untuk membawa Malaysia ke status negara maju tidak merangkumi semua aspek kerana hanya mencontohi kemajuan negara Korea dan Jepun dalam penguasaan kemahiran yang tinggi serta penguasaan teknologi maklumat namun meminggirkan kepentingan bahasa kebangsaan.

Tambahnya lagi, Dr. Mahathir gagal dalam mencontohi budaya masyarakat Timur yang mengagungkan bahasa kebangsaan mereka dan tidak cepat terpengaruh dengan kemasukan bahasa lain.

“Bawalah masuk bahasa apa sekalipun ke dalam negara mereka, orang Jepun dan Korea tetap akan menggunakan bahasa ibunda mereka. Kalau kita nak cipta sesuatu dasar biarlah merangkumi semua aspek. Ini aspek yang menjadi tunjang penyatuan rakyat hanya dipandang sebelah mata sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE