Seorang pengguna, Mohamad Nabil Shamsudin, 24, berkata, bil air rumah yang disewanya di Flat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam biasanya dalam lingkungan RM17 sebulan namun meningkat secara mendadak kepada RM40.85 pada bulan ini.

“Sangat terkejut kerana ini kali pertama menerima bil yang sangat mahal. Pada mulanya saya sangkakan ada tunggakan tetapi selepas disemak beberapa kali, rupanya tiada tunggakan dan itu adalah kadar semasa yang perlu dibayar.

“Saya musykil mengapa bayaran naik mendadak sedangkan penggunaan air saya dan rakan-rakan hanya pada kadar biasa.

“Saya telah membuat aduan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) hari ini dan berharap mereka dapat membuat pemeriksaan secara terperinci dan memperbetulkan sebarang kesilapan bacaan jika ianya berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pengguna, Syamimi Hazirah Mohd. Saadom, 27, berkata, dia sekeluarga turut menghadapi masalah sama apabila menerima penyata bil air pada bulan lalu yang berjumlah RM60, peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding biasa.

Katanya, jumlah bil air untuk bulan-bulan sebelumnya di Pangsapuri Taman LTAT, Bukit Jalil adalah antara RM13 hingga RM15 sebulan.

“Saya telah membuat aduan kepada Syabas dan telah diarahkan membuat pemeriksaan meter dan paip di dalam kawasan rumah untuk mengenal pasti sebarang kebocoran.

“Selepas diperiksa, didapati tiada sebarang kebocoran dan untuk mengelak daripada berlaku permasalahan sama, kami sekeluarga menutup pili air utama setiap kali selepas menggunakan air.

“Isu ini sangat dikesali kerana bukan saya sahaja yang menjadi mangsa malah beberapa lagi penduduk di sini turut mengalami masalah sama,” katanya.

Menurut Syamimi Hazirah, bil itu bagaimanapun telah dijelaskan namun dia berharap hal yang sama tidak berulang pada masa akan datang. - UTUSAN ONLINE