Tinjauan Skuad terjah di tiga buah masjid sekitar ibu negara iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek dan Masjid India mendapati ada pengemis yang tanpa segan silu duduk menunggu di pintu masjid dan berkeliaran untuk menanti ihsan orang ramai.

Dengan membawa bekas plas­tik­ minuman dan beralaskan surat khabar, berbaju lusuh, mereka menadah tangan sambil mempamer raut wajah kesedihan.

Lebih menjentik hati apabila kebanyakan pengemis terdiri da­ripada warga emas, orang kurang upaya dan wanita yang membawa anak kecil bersama.

Berdasarkan pemerhatian, seawal pukul 11.30 pagi mereka telah berkumpul di pekarangan masjid berkenaan, menadah tangan tanpa menghirau terik matahari.

Sebaik usai solat Jumaat dan menerima habuan masing-ma­sing, kelibat pengemis yang terdiri da­ripada warga tempatan dan asing terus hilang.

Situasi itu bagaikan tiada kesudahan walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering me­lakukan operasi menyelamatkan mereka.

Yang menjadi persoalan, a­­dakah pengemis ini benar-benar daif, cacat atau berpura-pura bersikap sedemikian untuk meraih simpati?.

Bayangkan pendapatan yang mereka kaut untungnya sama sahaja dengan orang yang bekerja di pejabat, sudah tentu pengemis lebih selesa menjadikan ia sebagai kerjaya.

Lebih membimbangkan, indi­vidu yang malas bekerja dan ma­sih sihat akan melakukan kerja tersebut, sekali gus melakukan penipuan tanpa berusaha keras.

Bukan hendak mempertikaikan keihklasan orang ramai mender­ma atau si peminta sedekah yang betul-betul daif, tetapi perlulah disalurkan de­ngan cara betul kerana di negara ini banyak agensi kerajaan yang menguruskannya.

Sehubungan itu pihak berwajib digesa mencari mekanisme ter­baik mengatasi kebanjiran pe­ngemis di ibu kota yang tidak terkawal.