Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah masyarakat namun, kali ini tumpuannya lebih diberikan kepada golongan pertengahan seperti penduduk perumahan kondominium dan rumah teres.

Beliau berkata, semua pegawai daripada kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turun padang bagi mencatat apa yang telah disuarakan untuk tindakan yang selanjutnya.

“Berdasarkan penelitian saya, kita selalu cuba menyelesaikan permasalahan di kawasan perumahan awam (PA), Projek Perumahan Awam (PPR) dan sebagainya namun, berbeza dengan program kali ini yang mana pendekatannya adalah kepada golo­ngan pertengahan.

“Walaupun kawasan tersebut mempunyai wakil rakyat namun pemimpin penduduk seolah-olah lepas tangan terutamanya daripada pihak pembangkang kerana dilihat tidak pernah mempedulikan permasalahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjayakan Program Bicara Rakyat Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) 2017, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Terdahulu lebih 300 penduduk di sekitar TTDI hadir ke program berkenaan dan antara isu berbangkit adalah bantahan terhadap projek pembangunan unit kediaman di tapak Taman Rimba Kiara selain cadangan naik taraf sistem parkir di kawasan sama.

Tambah Tengku Adnan, program tersebut akan dipanjangkan di beberapa kawasan lain sekitar ibu kota antaranya Damansara, Bangsar dan Setiawangsa.

“Kita turun padang untuk memperbetulkan persepsi yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pembangkang. Mereka hanya tahu menjadi ‘tukang bakar’ mengatakan kerajaan tidak hadir dan sebagainya, “ ujarnya lagi.