Pada masa sama, acara itu turut menyasarkan akan menanam semula kira-kira 1,000 batang pelbagai jenis anak pokok hutan.

Menurut Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, acara yang akan diadakan pada 24 Mac itu akan diadakan di Hutan Simpan Gading, Hulu Selangor, Selangor.

Acara tahun ke-enam itu melibatkan laluan sejauh 15 kilometer bermula dan berakhir di Kem Pelangi Hill Resort di hutan simpan itu.

“Seperti penganjuran pada tahun-tahun lalu, SORR kali ini mahu mendedahkan dan memberi ilmu bermanfaat kepada peserta berkenaan penjagaan dan pemuliharaan hutan hujan di negara ini.

“Hutan hujan merupakan khazanah tidak ternilai untuk kita dan ia seharusnya dikekalkan demi generasi masa depan,” katanya pada sidang media mengenai acara itu baru-baru ini.

Shariffa Sabrina berkata, acara pada tahun ini akan melibatkan laluan hutan dan kawasan rekreasi Kolam Air Panas Kerling yang terletak di situ.

Sebelum ini, SORR pernah di adakan di beberapa negeri termasuk Hutan Lipur Chamang, Bentong di Pahang, Hutan Lipur Kuala Woh, Perak, Hutan Simpan Sungai Menyala, Negeri Sembilan dan Taman Negara Pulau Pinang.

Tambah beliau, aktiviti SORR disasarkan akan menjadi platform terbaik kepada masyarakat khususnya generasi muda agar lebih menjiwai dan menghargai kepentingan memelihara dan memulihara hutan hujan tropika yang diiktiraf tertua di dunia.

Bayaran bagi menyertai larian SORR 2018 adalah sebanyak RM80 seorang atau RM160 bagi dua orang atau satu pasukan.

Orang ramai yang berminat menyertai acara ini boleh mendaftar di www.pekamalaysia.org. - UTUSAN ONLINE