Pegawai Perhubungannya, Jini Sebastian berkata, hotel tersebut menyediakan lebih daripada 100 jenis hidangan kepada pengunjung dengan menu utama masakan tradisional kampung.

“Berbeza dengan tahun sebelum ini, kita memperkenalkan menu tradisional bagi memberi pengalaman menarik kepada pengunjung dengan mengimbau memori silam melalui deria rasa dan bau.

“Kami yakin juadah yang dihidangkan akan memikat selera sekali gus memberi kepuasan kepada penggemar masakan kampung dan tradisional ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Jini, antara menu yang harus dicuba pengunjung adalah nangka ikan masin, gulai ayam cili padi serta gulai perut rebung buluh betong.

Katanya, setiap juadah dimasak secukupnya bagi memastikan ketulenan rasa meresap ke dalam kuah sekali gus membangkitkan aroma masakan tersebut.

Selain itu, mereka turut menyediakan pencuci mulut tradisional seperti lapan jenis kuih talam, pelbagai rasa bubur manis, tiga pilihan kuih pedas, ubi kayu rebus bersama sambal dan kelapa parut serta kuih serabai.

Turut menyediakan 15 gerai hidangan panas iaitu bakar-bakar, mi dan sup serta kuih-muih, bufet Ramadan Hotel Grand Lexis kali ini pasti membangkitkan selera pengunjung di samping menikmatinya dengan suasana santai.

Bermula pada 1 hingga 23 Jun, bufet Ramadan tersebut akan berlangsung di Restoran Duyung dari pukul 6.30 petang hingga 9.45 malam dengan harga RM98 bagi dewasa dan RM49 bagi kanak-kanak.

Mereka yang berminat untuk menikmati juadah yang disediakan, boleh hubungi talian 06-6532000 sambungan 3350 untuk tempahan. - UTUSAN ONLINE