Program sempena PJ Fair 2017 itu adalah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bertujuan menggalakkan penduduk Petaling Jaya dan sekitarnya mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal dan riadah.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, program itu juga dilihat mampu memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui kenderaan bermotor.

“MBPJ juga berhasrat untuk menjadikan lokasi Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya ini sebagai lokasi tumpuan, ceria, dan ‘hidup’ bagi masyarakat Petaling Jaya untuk melakukan aktiviti riadah dan sukan,” katanya selepas menyempurnakan program berkenaan.

Menurutnya, program tahunan sejak 2012 itu turut dimeriahkan dengan penyertaan Datuk Bandar Miyoshi, Saitama Jepun, Hayashi Isao dan penampilan khas selebriti ternama tanah air iaitu Aiman Tino.

Penganjuran PJ Fun ride meliputi laluan sepanjang 40 kilometer melibatkan jalan dan lokasi seperti Stadium Kelana Jaya, Pusat Bandar Kelana Jaya, Taman LRT Taman Bahagia, Pusat Bandar SS 2, Damansara Jaya, Bandar Utama, Mutiara Damansara dan Kota Damansara. - UTUSAN ONLINE