Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memandang serius perkara itu memberi amaran mana-mana pesawah yang mengusahakan benih padi tidak diiktiraf oleh kerajaan tidak akan diberikan bantuan subsidi atau insentif.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, padi Black Madras itu akan dituai dalam masa 10 hari lagi dan pemiliknya telah dinasihatkan supaya tidak menjual padi tersebut kepada mana-mana pembeli yang berminat.

“Walaupun benih padi ini tidak diiktiraf kerana boleh membawa penyakit berbahaya serta boleh memberi ancaman kepada benih padi tempatan, pemantauan berterusan perlu dijalankan.

“Pemeriksaan sentiasa dibuat oleh Pegawai Pertanian Perlis,Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) negeri, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak Disember tahun lalu ke kawasan tersebut bagi memantau dan menganalisa padi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE