Kira-kira dua tahun lalu, Maisarah Mohd. Faizal mula berjinak-jinak bermain ukulele kerana ia mudah dipelajari selain terpesona dengan alunan muzik yang dihasilkan alat muzik tersebut.

Menurut Maisarah yang juga mahir bermain piano, dia tidak menghadiri mana-mana kelas untuk belajar bermain ukulele.

“Saya belajar menerusi YouTube kerana ia mudah untuk dipelajari berbanding alat-alat muzik lain.

“Minat itu timbul selepas saya melihat pelajar senior di sekolah saya bermain alat muzik sapalele dan ia mendorong saya untuk mencuba ukulele pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ukulele merupakan gitar kecil yang dikatakan berasal dari Portugal.

Sementara itu, ibunya, Lisza Abd. Kadir, 43, berkata, sejak Maisarah mahir bermain ukulele, dia kerap membuat persembahan di majlis-majlis korporat.

“Tahun lalu dia membuat persembahan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur dan baru-baru ini menyertai Konserta Orkes Nirwana A. Rahman Hassan.

“Pada konsert tersebut Maisarah membawa lagu genre 60-an. Walaupun dia sudah sebati dengan irama pop namun dia dapat membuat persembahan dengan sempurna,” katanya.

Lisza berkata, dia kini sedang memilih syarikat rakaman yang terbaik untuk mengembangkan bakat anaknya­ dalam bidang seni.

Selain ukulele, Maisarah juga berkebolehan dalam bidang nyanyian,­ tarian dan melukis.