Bekalan air turut terputus di beberapa kawasan perniagaan seperti restoran, pusat asuhan kanak-kanak dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Salak Selatan.

Walaupun penduduk telah membuat persediaan dengan menyimpan air, mereka berharap pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dapat membekalkan bantuan air kecemasan kerana gangguan berlaku dalam tempoh yang lama.

Penduduk berkata, bekalan air yang disimpan sejak beberapa hari lalu hanya dapat bertahan sehingga hari ini dan esok terutama dalam kalangan penghuni yang mempunyai ramai ahli keluarga.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Pantai Dalam juga mendapati bekalan air terputus sejak pukul 9 pagi.

Di kawasan perumahan bertingkat Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Sungai Besi dan Salak Selatan, gangguan bekalan air masih belum berlaku setakat tengahari tadi. - UTUSAN ONLINE